BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, March 17, 2011

JUMAAT 18/03/2011

KANTOI


Aku gemar mendengar lagu-lagu terkini di corong-corong radio. Aku tidak memilih genre lagu tertentu asalkan lagu tersebut merdu didengar dan menyentuh hati. Namun kebanjiran lagu-lagu kini akibat fenomena kemunculan artis indie, iaitu mereka yang bergerak secara berdikari tanpa syarikat rakaman, telah merosakkan bahasa kita.  Hal ini demikian kerana, lirik lagu telah diubah suai mengikut selera mereka dan menggunakan bahasa rojak sehingga bahasa Melayu terpinggir sebagai bahasa kebangsaan kita. Namun, bukan semua penyanyi indie seperti itu. Misalnya, Yuna mampu menghasilkan lagu yang bermutu dan mempunyai nilai tersendiri. Di sini aku sertakan lirik lagu dan lagu yang popular dan menjadi siulan para remaja lain tetapi bukannya diriku.


Penyanyi: Zee Avi

Tajuk : Kantoi     

Semalam I call you, you tak answer
You kata you keluar pergi dinner
You kata you keluar dengan kawan you
but when I called Tommy he said it wasn't true

So I drove my car pergi Damansara
Tommy kata maybe you tengok bola
Tapi bila I sampai... you, you tak ada
Lagi la I jadi gila

So I called and called sampai you answer
You kata sorry sayang tadi tak dengar
My phone was on silent, I was at the gym
Tapi latar belakang suara perempuan lain

Sudahlah sayang, I don't believe you
I've always known that your words were never true
Why am I with you?
I pun tak tahu
No wonder la my friends pun tak suka you

So I guess that's the end of our story
Akhir kata she accepted his apology
Tapi last-last kita dapat tahu she was cheating too
With her ex boyfriend's best friend, Tommy.



video



Komen/ Cadangan:
Kita seharusnya memperkasakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian. Sebenarnya melalui lagu, kita dapat mendidik masyarakat agar menyintai bahasa Melayu bukannya mengagungkan bahasa lain sehingga meminggirkan bahasa kebangsaan kita.


KHAMIS 17/03/2011

LENGKONG ATAU AGAR-AGAR

Sewaktu aku dan rakan-rakan mengadakan perbincangan dalam kumpulan, rakanku, iaitu Agai ada menyebut mengenai ‘lengkong’. Aku bertanya kepada Agai mengenai maksud ‘lengkong’. Agai menyatakan bahawa ‘lengkong’ sama seperti ‘agar-agar’. Namun, Azmil tidak bersetuju. Azmil berpendapat bahawa lengkong adalah cincau. Terdapat perbezaan pendapat antara Agai dan azmil. Hal ini demikian kerana perbezaan negeri menyebabkan berlaku perbezaan antara makna perkataan tersebut. Agai berasal dari Johor manakala Azmil berasal dari Kedah.

Komen/ Cadangan:
Aku mencari makna sebenar perkataan lengkong dalam kamus untuk merungkaikan persoalan yang bermain difikiranku. Lengkong bermaksud agar-agar atau cincau manakala agar-agar pula bermaksud lengkong atau sejenis tumbuhan, iaitu lumut laut. Aku berpendapat bahawa lengkong sangat lembut, kenyal seperti agar-agar, warnanya hitam pekat yang berbentuk gel. Terdapat masyarakat yang menyebut lengkong sebagai cincau hitam dan digunakan untuk membuat air. Agar-agar pula merupakan sejenis kuih atau boleh dijadikan sebagai pencuci mulut.


Air cincau



Agar-agar yang pelbagai warna kelihatan sungguh menarik dan menyelerakan

RABU 16/03/2011

BAHASA SLANGA DAN BAHASA PASAR

Bahasa slanga merupakan kata-kata yang tidak tergolong dalam bahasa baku. Bahasa slanga biasanya digunakan dalam percakapan tidak rasmi. Bahasa slanga dianggap lebih rendah tarafnya daripada bahasa standard. Remaja gemar menggunakan bahasa slanga dalam pertuturan seperti perkataan brader, pakwe, mengancam, dan sekeh. Contohnya:

Brader, wa gerak dulu.


Bahasa pasar adalah bahasa yang dicampur aduk antara bahasa ibunda penutur dengan bahasa kedua yang cuba dituturkannya. Paling ketara ialah bahasa pasar menggunakan kata ganti nama asing, iaitu i, you, we all, gua, lu, dia orang, ane dan sebagainya. Contohnya:

            You tak suka tak pa. We all tak pernah dengar 
            orang komplen pun.
            Dia punya barang.





Komen/ cadangan:
Bahasa slanga dan bahasa pasar sering digunakan dalam kehidupan seharian kita tanpa kita sedari. Kita seharusnya menonjolkan jati diri bangsa dengan menggunakan bahasa Melayu standard. 



SELASA 15/03/2011

PENGARUH

Gelagat yang ditunjukkan oleh rakan-rakanku mencuit hatiku. Pengaruh filem’Hantu Kak Limah Balik Rumah’ masih membelanggu rakan-rakanku walaupun filem tersebut telah lama ditayangkan, iaitu pada 9 Disember 2010. Antara gelagat yang mencuit hatiku adalah melalui perbuatan dan percakapan mereka. Dialek negeri Perak yang digunakan oleh para pelakon dalam filem tersebut menjadi ikutan. Misalnya, perkataan ‘bakor’ dan ‘ceciter’. Perkataan ‘bakor’ bermaksud bakar manakala ‘ceciter’ pula bermaksud cuba cerita.

Komen/ Cadangan:
Media massa memainkan peranan penting dalam penting dalam penyebaran maklumat. Media massa mampu mempengaruhi setiap golongan masyarakat. Aku tertarik dengan filem ‘Hantu Kak Limah Balik Rumah’ kerana bahasa yang digunakan adalah dialek negeri Perak. Secara tidak langsung, filem tersebut menarik minat penonton dan diriku sendiri untuk mempelajari dialek negeri Perak. Namun, kita mestilah menggunakan bahasa mengikut kesesuaian tempat dan keadaan. 



ISNIN 14/03/2011

KURANG AJAR

Perkara yang berlaku pagi tadi membuatkan emosi aku terganggu. Sikap kurang ajar yang ditunjukkan oleh pekerja lelaki kafe Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) menyentuh perasaanku. Sewaktu aku ingin mengambil makanan, iaitu ayam masak merah, aku menggunakan plastik yang disediakan untuk mengambil makanan. Plastik itu bersaiz kecil sedangkan ayam tersebut bersaiz lebih besar daripada plastik itu. Kawanku mencadangkan agar aku menggunakan bekas makanan untuk mengambil makanan tersebut. Ketika aku ingin membayar makanan di kaunter, pekerja kafe tersebut telah memerliku.

             Pekerja: Rugilah  hari ini, guna bekas makanan.

Aku    : Saya terpaksa gunakan bekas makanan disebabkan plastik terlalu kecil  dan       susah untuk mengisi lauk.
Pekerja: Janganlah marah saya. Bukan saya yang jaga plastik tu, manalah saya tahu besar ke kecil.  (dengan nada suara yang tinggi)
Aku     : Saya bukanlah marahkan awak. Saya cuma cakap.


Lantas pekerja itu bertanyakan kepada rakannya sama ada terdapat plastik besar dalam simpanan mereka. Rakannya itu menyatakan bahawa plastik yang paling besar adalah plastik sampah yang berwarna hitam. Aku terkejut dengan jawapan yang dituturkan oleh pekerja itu.

Pekerja : Ambil plastik sampah tu, letakkan di hadapan. Senang sikit orang nak ambil  lauk. Besarkan.

Aku berpendapat lebih baik aku berdiam diri kerana aku tidak ingin bertelagah dengan pekerja yang bersikap kurang ajar itu. Aku bimbang aku tidak dapat mengawal diri apabila emosi menguasai diri. Aku hanya menghadiahkan pekerja itu dengan ucapan ‘terima kasih’ sebelum aku beredar selepas membayar makanan walaupun di dalam hati ini hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu perasaaanku.

Komen:
Aku beranggapan bahawa pekerja tersebut bersikap kurang ajar dengan memerli dan memarahi aku. Pekerja tersebut tidak seharusnya menyamakan makanan seperti sampah dan menghina pelanggan. Setiap tutur kata mengambarkan keperibadian diri seseorang.

Cadangan:
Aku berpendapat bahawa peniaga kafe kolej kediamanku seharusnya mengutamakan pelanggan dan menunjukkan sikap yang baik serta mesra. Selain itu, peniaga haruslah menyediakan kemudahan kepada pelanggan. Tutur kata yang digunakan haruslah dijaga agar tidak akan ada individu yang terasa hati. Bahasa melambangkan bangsa. Renungkanlah.




Sunday, March 13, 2011

JUMAAT 8/03/2011

BAHASA

Aku telah pergi ke perpustakaan mencari bahan untuk tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Ketika aku sedang asyik mencari buku, aku terpandang dua orang pelajar perempuan sedang berbual-bual. Perbualan mereka menarik minatku untuk melihat walaupun aku tidak memahami maksud perbualan mereka. Mereka bertutur dalam bahasa mandarin sedangkan pelajar tersebut merupakan  pelajar Melayu dan seorang lagi adalah pelajar Cina.


Komen/ cadangan:
Walaupun kita berlainan bangsa tetapi itu tidak manghalang kita daripada mempelajari bahasa yang lain. Secara tidak langsung, kita dapat merapatkan diri kita dengan bangsa lain melalui bahasa serta dapat mempelajari budaya mereka.





KHAMIS 10/03/2011

MARI BELAJAR LAGI

Pada minggu lepas, kita telah belajar mengenai sistem panggilan dalam dialek Pahang. Hari ini kita akan mempelajari sesuatu yang baru mengenai dialek Pahang.


Dialek Pahang

Maksud dalam bahasa Melayu
babir

degil
biroh

gatal
cemuih
bosan

kupik

kedekut


Komen/ Cadangan:
Setiap negeri mempunyai dialek yang tersendiri. Perkataan di atas boleh digolongan sebagai kata adjektif. Setiap dialek terdapat persamaan dan perbezaan daripada segi makna dan sebutannya.

RABU 9/03/2011

ALA

Kebanyakan kedai makan atau restoran gemar menggunakan perkataan ‘ala’ seperti ‘ala Thai’. Perkataan ‘ala’ yang difahami oleh masyarakat sinonim dengan perkataan ‘gaya atau cara’. Sebenarnya perkataan ‘ala’ sebenarnya mempunyai banyak makna dan  tidak mempunyai makna yang khusus. ‘Ala’ bermaksud  atas, akan, kepada,  kemampuan dan menurut gaya.


Komen/ cadangan:
Kita haruslah memartabatkan bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa yang standard. Bahasa adalah cerminan masyarakat.




SELASA 8/03/2011

TAKDIR

Hatiku dilanda kesayuan dan rasa simpati melihat diri mereka. Aku dan rakan-rakan, iaitu Agai, Hafizudin, Mojahid dan Azmil telah menjalankan kajian mengenai penerapan modal insan dalam kalangan pesakit mental di Pusat Rehabilitasi (PSR), Klinik Tanjong Malim. Ketika aku dan rakan-rakan menemubual Puan Rafizah, jururawat yang bertanggungjawab menjaga pesakit di PSR, hatiku tiba-tiba terasa sebak dengan takdir mereka. Menurut Puan Rafizah, kebanyakan pesakit mental sukar diterima oleh masyarakat kerana masyarakat menganggap pesakit mental sebagai satu ancaman dan memanggil golongan ini ‘orang gila’. Kebanyakan pesakit di situ hampir pulih daripada masalah yang dihadapi oleh mereka.


Komen/Cadangan:
Sekiranya masyarakat memanggil pesakit mental dengan panggilan ‘orang gila’ pastinya akan menyebabkan diri mereka lebih tertekan. Perkara yang ini berlaku bukanlah kehendak mereka tetapi takdir yang ditentukan oleh-Nya kepada mereka. Kita sebagai masyarakat di sekelilingnya haruslah memanggil dengan panggilan yang lebih sopan dan menerima mereka dalam kehidupan kita.


Kenangan manis  bersama pesakit di PSR

ISNIN 7/03/2011

IKLAN

Ketika aku sedang menunggu pintu lif terbuka sewaktu di kolej kediamanku, aku terpandang ke arah papan kenyataan yang berada bersebelahan dengan lif. Terdapat iklan mengenai 'Debat bahasa Inggeris'. Iklan tersebut menarik minat aku kerana penggunaan bahasa rojak dalam iklan tersebut.


Komen/ Cadangan:
Iklan yang dipaparkan kepada orang ramai mestilah menggunakan bahasa standard. Tambahan pula, kita merupakan bakal pendidik dan seharusnya kita menggunakan bahasa Melaayu tinggi dalam berurusan. Bahasa Melayu yang digunakan tidak seharusnya dicampur dengan bahasa Inggeris seperti resume, France dan Spain. Bahasa melambangkan bangsanya. 



Sunday, March 6, 2011

AHAD 6/03/2011

SELALU

Hari ini aku belajar sesuatu yang baharu. Aku semakin memahami rakan sebilikku, iaitu Kak Ziela yang berasal dari Tumpat, Kelantan. Teringat pula ketika aku mengajaknya untuk makan laksa. Dia menjawab, “ Kalau Ja ajak make, akok nok make selalu”.

Komen/ Cadangan:

Pada mulanya aku menganggap perkataan ‘selalu’ bererti sentiasa tetapi maksud yang ingin disampaikan oleh Kak Ziela berbeza dengan kefahaman aku. Perkataan ‘selalu’ yang diucapkan oleh Kak Ziela bererti segera. Makna sesuatu frasa atau perkataan itu berbeza mengikut negeri.



Laksa yang sungguh menyelarakan.

JUMAAT 4/03/2011

SISTEM PANGGILAN DALAM DIALEK PAHANG

Setiap negeri mempunyai dialek yang tersendiri. Pada hari ini aku ingin berkongsi maklumat mengenai dialek Pahang. System panggilan atau kata gandi nama diri dalam pertuturan masyarakat di negeri Pahang. System panggilan yang digunakan oleh masyarakat berbeza mengikut daerah tetapi terdapat juga persamaan antara daerah-daerah tersebut. Contohnya:


Dialek Pahang

Maksud dalam bahasa Melayu


kas
saya (digunakan di daerah Jerantut, Lipis dan Raub)

koi
saya, aku (digunakan di daerah Temerloh)

aok
awak

aok me
kamu semua

dema
awak atau biasanya untuk menunjukkan orang yang ramai.

di
saya (digunakan di daerah Jerantut)





Komen/ Cadangan:

Setiap dialek mempunyai persamaan dan perbezaan sama ada daripada segi makna atau sebutan. Kedudukan georafi juga mampu membezakan dialek yang digunakan dalam pertuturan walaupun daerah-daerah penuturnya adalah dalam negeri yang sama.

KHAMIS 3/03/2011

REWANG

Menurut Kamus Dewan edisi keempat, rewang bermaksud tidak tetap atau selalu berubah-ubah, merawang, merawak dan gotong-royong sebagai persiapan menjayakan sesuatu majlis. Maksud rewang berbeza mengikut negeri. Aku berasal dari negeri Pahang mempunyai pengertian yang berbeza dengan kawan baikku, Agai yang berasal dari negeri Johor. Aku beranggapan rewang merupakan perbuatan berjalan-jalan atau merayau tetapi Agai menganggap ‘rewang’ seperti melakukan gotong-royong untuk persiapan perkahwinan.


Komen/ Cadangan:

Setiap masyarakat mempunyai pandangan dan fahamannya yang tersendiri. Begitu juga dengan bahasa yang dituturkan setiap hari mempunyai perbezaan dan persamaan mengikut negeri dan daerah.



Berjalan-jalan atau merayau-rayau.

Gotong-royong memasak.

RABU 2/03/2011


UNSUR PERSEKITARAN

Hari ini aku membentangkan tugasan individu di dalam kelas Semantik dan Pragmatik bahasa Melayu yang bertajuk ‘Klasifikasi simpulan bahasa’. Sebenarnya simpulan bahasa yang dibina berasaskan sumber-sumber di sekeliling berdasarkan makna, kelompok kata, unsur alam, tubuh badan, haiwan, nama khas dan kepercayaan orang ramai. Contohnya dalam jadual di bawah:


Klasifikasi simpulan bahasa melalui:

Contoh
Makna

muka talam, muka tebal, muka tembok
Kelompok kata

makan- makan suap, makan hati, makan gaji
Unsur alam

juling air, hati batu

Tubuh badan

gigi air, hati batu, telinga kuali, mata keranjang, kaki judi, kecil hati
Haiwan

ajak-ajak ayam, buaya darat, pening lalat, kambing hitam
Nama khas

Abu Nawas, Abu Jahal, Mat Jenin
Kepercayaan orang ramai

buruk siku, harimau berantai



Komen/ Cadangan:

Simpulan bahasa yang dihasilkan oleh masyarakat dahulu sebenarnya berkaitan dengan persekitaran dan budaya mereka. Masyarakat dahulu sangat bijak kerana mampu mengaitkan kehidupan dengan perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Simpulan bahasa yang dihasilkan bukan sekadar untuk dijadikan nasihat tetapi terdapat juga unsur sindiran dan jenaka. Hargailah khazanah yang dicipta oleh masyarakat terdahulu dan banggalah menggunakan simpulan bahasa dalam kehidupan kerana simpulan bahasa mempunyai maksud yang tersurat dan tersirat.