BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, February 27, 2011

SABTU 26/02/2011

MAAF

Setiap hari sabtu, aku bersama rakanku, Agai akan pergi ke pasar malam Tanjong Malim sekiranya tiada kekangan. Aku dan Agai mengambil keputusan untuk keluar selepas solat Asar. Akibat terlalu lama menunggu bas untuk ke pekan, aku sudah terlewat. Disebabkan jam di tangan telah menunjukkan pukul 6.30petang, aku dan Agai agak tergesa-gesa kerana kami perlu mencari barang-barang yang diperlukan untuk melakukan pengajaran makro. Aku terlanggar seorang wanita yang boleh dianggap sebagai kakak disebabkan kesesakan orang ramai yang keluar pada petang ini. Aku segera memohon maaf kepada wanita. Ungkapan maaf oleh ku tidak disambut sebaliknya hanya jelingan tajam sebagai hadiah kepadaku.


Komen/ Cadangan:

Kita seharusnya memaafkan kesilapan yang dilakukan oleh orang lain. Sifat memaafkan orang lain merupakan sifat yang mulia. Kadang kala kesilapan yang dilakukan adalah secara tidak sengaja. Apabila kita mudah memaafkan orang lain, orang lain juga mudah memaafkan kesilapan yang dilakukan oleh kita. Kita hanyalah manusia biasa yang sentiasa melakukan kesilapan.



Keadaan di pasar malam.


JUMAAT 25/02/2011

KESABARAN

Sewaktu aku beratur untuk mengambil duit di mesin pengeluaran wang di kampus, aku terdengar seorang pelajar perempuan yang beratur di belakangku mengeluh. Aku terdengar perbualan pelajar tersebut bersama rakannya. Katanya, “Cuba kau tengok, lembap betul orang depan tu ambik duit. Ingat dia sorang je ke nk ambik duit. Dah la panas ni, tak tengok ke ramai yang tengah beratur ini.” Aku berpendapat pelajar perempuan itu bercerita kepada kawannya mengenai seorang pelajar lelaki yang aku sendiri menyederi bahawa dia mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan wang.


Komen/ Cadangan:

Kita seharusnya sentiasa bersabar dalam setiap keadaan. Pelajar lelaki tersebut mungkin mengalami masalah untuk mengeluarkan wang. Kita tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan.



Mesin pengeluaran wang


KHAMIS 24/01/2011

BUDI BAHASA BUDAYA KITA

Hari ini, rakanku Raihan dan Suzana menayangkan satu video berkaitan bahasa jiwa bangsa yang terdapat dalam cerita arahan P.Ramlee, iaitu Seniman Bujang Lapok sewaktu pengajaran makro di dalam kelas sebagai induksi set. Pada mulanya aku agak tertanya-tanya mengenai video tersebut. Setelah menonton video tersebut, rupanya video itu mengisahkan tentang watak Sudin yang telah menegur seorang pengawal keselamatan berbangsa Singh dengan memanggilnya ‘Oi’. Singh itu tidak menyahut panggilan Sudin, lalu Sudin mengatakan bahawa lelaki Singh itu tersampuk dan berlagak kerana tidak mengendahkannya. Selepas Sudin berlalu lelaki Singh itu berkata “Nama saja orang Melayu, adab pun tak tahu. Panggil orang oi, oi, oi, kau ingat ini apa, batu ke, kayu ke?”. Pada pandangan aku, video tersebut sangat bersesuaian dengan topik pengajaran mereka, iaitu pantun budi.


Komen/ Cadangan:

Berdasarkan situasi yang dapat dilihat melalui video tersebut, kaum lain turut beranggapan bahawa kaum Melayu sangat terkenal dengan adab sopan tetapi dalam video tersebut sebaliknya yang berlaku. Lelaki Singh itu lebih berbudi bahasa daripada lelaki berbangsa Melayu. Sebaiknya Sudin memanggil lelaki berbangsa Singh itu dengan menggunakan kata sapaan seperti “Selamat pagi encik” bagi menjaga adab sopan ketika bertutur dengan orang lain. Bahasa Jiwa Bangsa.



video






RABU 23/02/2011

DEMAM


Keadaan kesihatanku masih tidak lagi baik. Aku bukan sahaja demam malahan batuk dan selesema. Aku mengajak Agai untuk menemani aku ke Pusat Kesihatan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Setelah aku berjumpa dengan doktor, aku bergerak menuju ke kaunter lima, iaitu kaunter untuk mengambil ubat. Pekerja yang bertugas di kaunter lima sangat ramah orangnya. Dia menerangkan dengan teliti mengenai dos pengambilan ubat walaupun terdapat arahan mengenai dos ubat yang perlu diambil oleh aku pada sampul ubat itu.


Komen/ Cadangan:

Kita seharusnya sentiasa bersikap ramah sewaktu berurusan dengan orang awam tanpa mengira umur, bangsa atau pangkat. Layanan yang mesra menyebabkan orang ramai suka berurusan untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan atau barangan.




Pusat Kesihatan UPSI

SELASA 22/02/2011

TERIMA KASIH

Aku telah berjanji dengan Puan Rosmawati untuk menemuinya di Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist pada pukul 3.00 petang untuk berbincang mengenai pengajaran makro yang akan dilakukan oleh aku dan rakan-rakan di sekolah tersebut. Cuaca pada hari ini panas terik dan dalam keadaan aku yang demam menyukarkan aku untuk berjalan kaki ke sekolah tersebut. Lantas aku meminta pertolongan daripada Rasyid untuk menggunakan motosikalnya.


Komen/ Cadangan:

Aku berterima kasih kepada Rasyid kerana sudi meminjamkan motosikalnya kepadaku memandangkan keadaan kesihatanku yang kurang sihat. Selain itu, aku bersyukur kerana Puan Rosmawati sanggup membantu aku dan rakan-rakan untuk melakukan pengajaran makro di sekolah tersebut. Amalan tolong-menolong merupakan amalan yang mulia. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.










Monday, February 21, 2011

SABTU 19/02/2011


PADA ATAU KEPADA


Ketika aku membaca surat khabar pada pagi tadi, aku telah terlihat kesalahan tatabahasa mengenai iklan yang ditunjukkan di dalamnya. Sebagai contoh, iklan yang dikeluarkan oleh ‘quaker oats’, iaitu ‘dedikasi pada kesihatan jantung lebih 125 tahun’.


Komen/ cadangan:

Seharusnya iklan tersebut seperti ini, ‘dedikasi kepada kesihatan jantung lebih 125 tahun’. Akhbar merupakan salah satu sumber yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya untuk menyampaikan segala berita dan maklumat. Tetapi kita juga dapat melihat bahawa akhbar tidak begitu menitikberatkan unsur tatabahasa di dalamnya, walhal ia dijadikan rujukan oleh golongan pelajar sekolah. Pihak akhbar seharusnya memainkan peranan untuk meningkatkan lagi penggunaan bahasa dengan betul dan bukan sekadar untuk menyampaikan maklumat sahaja tanpa mementingkan bahasa. Aku berharap akhbar kita akan lebih bermutu dan sesuai untuk dijadikan bahan rujukan oleh setiap golongan.


JUMAAT 18/02/2011

PANGGILAN


Aku menghabiskan masa cuti hujung mingguku selama tiga hari di kampungku yang terletak di Jerantut, Pahang. Aku menggunakan perkhidmatan bas untuk pulang ke kampung. Penumpang yang berada di belakang tempat duduk aku merupakan kanak-kanak. Terdapat tiga orang kanak-kanak yang duduk di kerusi yang mempunyai dua tempat duduk itu dan ibu kepada kanak-kanak tersebut duduk di belakang kerusi kanak-kanak tersebut sambil memangku anaknya yang masih kecil.  Tiba-tiba salah seorang daripada kanak-kanak itu menangis. Lalu aku terdengar ibu kepada kanak-kanak tersebut memarahi anaknya yang lebih besar itu. Kata ibunya,” Aku suruh kau jaga adik, bukannya suruh kau usik dia. Kalau kau kacau lagi, siap kau. Buat bising dalam bas, nanti orang marah.”


Komen/ Cadangan:

Ibu kanak-kanak tersebut seharusnya menggunakan bahasa yang lebih halus untuk menasihati anak-anaknya. Hal ini demikian kerana bahasa yang halus lebih meresapi ke dalam sanubari dan lebih berkesan. Penggunaan kata ganti nama diri  (KGND) “aku” dan “kau” tidak sesuai digunakan apabila berkomunikassi dengan anak-anak. Penggunaan KGND yang sesuai dapat mewujudkan komunikasi yang lebih berkesan.

KHAMIS 17/02/2011

SELAMAT MALAM ATAU GOOD NIGHT

Setiap malam sebelum tidur, Muni rakan serumahku yang berada di semester empat akan mengucapkan “Good night Kak Ja”. Cuma hari ini, aku terperasan bahawa tiada perkataan ‘selamat malam’ pun yang digunakan untuk menggantikan ayat itu.

Komen/ Cadangan:
Aku pun menegurnya dengan mengatakan “Selamat malam bukan good night”. Walaupun sudah ditegur, tetapi dia tetap menggunakan ‘good night’. Tiada gunanya kalau fasih berbahasa Melayu tetapi tidak bangga untuk menggunakannya. Pengetahuan tentang bahasa Inggeris dan mempelajari bahasa Inggeris adalah sesuatu perkara yang baik tetapi lebih baik sekiranya kita menggunakan bahasa Melayu tanpa mencampur adukkan dengan bahasa lain. “Cintailah Bahasa Kita” kerana “Bahasa Jiwa Bangsa”.



RABU 16/02/2011


KOLOKASI

Pada setiap hari rabu, pembentangan tugasan individu akan dilakukan semasa kelas Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu. Pada hari ini, aku belajar mengenai makna kolokasi. Makna kolokasi berhubung rapat dengan jenis makna. Makna kata tersebut mempunyai ikatan dengan kata yang lain yang merupakan kolokasinya. Sebagai contoh, kata ‘makan’, ‘sarapan’, ‘kudapan’, atau ‘cicipan’ membawa makna denotatif ‘makan’ sahaja tetapi kata ‘santap’ mempunyai ciri istana, manakala kata-kata lain tidak mempunyai cirri istana.


Komen/ cadangan:

Setiap kata-kata tertentu boleh dikaitkan dengan golongan tertentu sahaja dan sebaliknya. Kita haruslah menuturkan kata-kata tersebut berdasarkan kesesuaian dan masyarakatnya. 

SELASA 15/02/2011


JANJI 


Sekiranya kita membicarakan tentang janji, tentunya pelbagai tafsiran yang diperkatakan. ‘Janji orang Melayu’ dikatakan tidak akan menepati masa, iaitu lambat. Tetapi  ‘janji orang India’, janji itu bermaksud menepati masa, manakala kalau ‘janji Cina’ dikatakan janji yang baik iaitu awal daripada masa yang ditetapkan.

Komen/ Cadangan:

Aku juga mengakui ungkapan tersebut setelah banyak bergaul dengan masyarakat yang pelbagai kaum. Bagi pendapatku, semuanya bermula dengan diri kita sendiri. Sekiranya kita bersikap tidak baik, maka orang lain akan beranggapan bahawa bangsa kita juga tidak baik. hal ini demikian kerana lumrah kehidupan manusia yang mempunyai pandangan yang berbeza dalam mentafsir sesuatu perkara. Aku berharap kita semua mestilah berfikiran terbuka dan janganlah  “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”.

Saturday, February 12, 2011


SABTU 12/02/2011



NILAI MENGHARGAI


Aku melihat rakan serumahku begitu khusyuk menonton cerita. Timbul perasaan ingin tahu aku mengenai cerita tersebut. Rakan serumahku menyatakan bahawa cerita yang ditontonnya bertajuk ‘Playful Kiss’ dan sangat seronok untuk ditonton. Cerita ini adalah cerita berbahasa Korea yang mengisahkan percintaan pelajar sekolah dan universiti. Aku gemar juga menonton cerita Korea dan cerita Jepun. Aku mengambil sedikit kesempatan untuk menonton cerita tersebut.

Komen/ Cadangan:

Perkataan seperti “komawa”, “kumapta”, dan “arigato ghozaimas”, sering aku dengar apabila menonton cerita Korea dan Jepun. Mereka sangat berbudi bahasa, menghormati orang tua dan terkenal dengan adab sopan yang tinggi. Tetapi aku sering tertanya, mengapa cerita Melayu kurang menyelitkan nilai  menghargai dan menghormati kepada individu lain? Berbanding dengan Korea dan Jepun, penghargaan dan penghormatan itu bagaikan sesuatu yang wajib dan menjadi amalan dalam hidup mereka. Mereka tidak mengira sesiapa pun untuk menyatakan ucapan terima kasih itu. Sekiranya masyarakat kita turut bersikap sedemikian pasti negara kita yang berbilang kaum ini akan lebih erat hubungannya dan hidup dalam suasana aman dan damai. “Kesopanan menjadikan kita lebih bertamadun”.



JUMAAT 11/02/2011

“LU PIKIRLAH SENDIRI”

Aku terasa kesepian dan kebosanan pada malam ini kerana ketiadaan rakan sebilikku yang terlibat dengan satu program di Pulau Pinang. Lantas aku menonton kembali filem yang bertajuk “ Lu Pikirlah Sendiri’ yang telah ditayangkan pada awal tahun lepas. Filem tersebut mengisahkan keadaan masyarakat yang berbeza taraf kehidupan. Terdapat golongan masyarakat yang hidup mewah dan terdapat juga golongan sederhana atau miskin. Selain itu, filem ini turut memaparkan kehidupan remaja pada masa sekarang.

Komen/ Cadangan:

Filem "Lu Pikirlah Sendiri" tidak sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat kerana akan mempengaruhi pemikiran orang lain terutamanya golongan kanak-kanak. Antara penggunaan perkataan yang tidak sesuai di gunakan adalah membahasakan diri “lu” dan “gua”. Hal ini telah menjadi ikutan para penonton  terutamanya ayat “Lu pikirlah sendiri.” Selain itu, pengarah filem tersebut seharusnya menggunakan ejaan standard. Perkataan “pikir” seharusnya dieja “fikir”. Kita seharusnya memartabatkan bahasa kebangsaan kita.





KHAMIS 10/02/2011


CEMUH



Rakan serumahku sering menggunakan perkataan “cemuh” dalam percakapan hariannya. Aku tertanya-tanya sendirian mengenai maksud perkataan tersebut. Cemuh dalam bahasa Melayu bermaksud mencela atau menghina. Aku bertanyakan soalan itu kepada rakan serumahku, Nor. Nor menyatakan mengikut bahasa Terengganu “cemuh” itu bermaksud bosan. Maksud yang diberikan oleh Nor berlainan dengan maksud sebenarnya.

Komen/ Cadangan:

Bahasa yang digunakan oleh kita dalam kehidupan seharian adalah sama tetapi mempunyai maksud yang berbeza mengikut negeri atau daerah. Kita haruslah menggunakan bahasa dengan betul dan tepat kerana yang indah itu adalah bahasa kebangsaan kita.



RABU 9/02/2011


MAKNA DENOTATIF


Ketika rakanku melakukan pembentangan mengenai makna denotatif sewaktu kelas Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu, rakanku menyatakan makna denotatif ialah makna sebenarnya. Contohnya, perkataan perempuan dan wanita mempunyai makna denotatif yang sama, iaitu manusia dewasa bukan laki-laki. Samalah juga dengan perkataan ‘melantak’, ‘makan’, ‘sarapan’ atau ‘soru’ yang kesemuanya dikaitkan dengan makan.


Komen/ Cadangan:

Pada pendapat aku, perkataan melantak lebih kasar, tidak manis didengar dan tidak mengikut adab sopan dan tatasusila yang sering dikaitkan dengan masyarakat Melayu. Masyarakat sering mempunyai pandangan yang berbeza walaupun perkara yang dibincangkan itu sama. Namun, kita haruslah menggunakan bahasa yang indah dan gramatis supaya orang di sekeliling kita tidak terasa hati dengan percakapan kita.



                                                                                                                         



ISNIN 07/02/2011



KESETIAAN TERHADAP BAHASA



Hari ini pensyarah kesayangan aku, Dr. Siti Saniah Abu Bakar telah mengutarakan  satu persoalan di dalam kelas Sosiolinguistik Melayu. Persoalan tersebut telah membuatkan aku berfikir daripada sudut positif dan negatif. Persoalan yang diutarakan oleh Dr. Siti Saniah, iaitu “Mengetahui lebih daripada satu bahasa akan menimbulkan kesan yang negatif.”



Komen/ Cadangan:
Bagi pendapat aku, persoalan yang diutarakan oleh Dr. Siti Saniah sebenarnya boleh dihuraikan daripada sudut pandangan positif dan negatif. Aku berpendapat bahawa mengetahui lebih daripada satu bahasa akan menimbulkan kesan yang positif sekiranya kita bijak menggunakan bahasa mengikut keadaaan dan kesesuaian. Hal ini demikian kerana mengetahui lebih daripada satu bahasa sangat penting kerana terdapat banyak sumber maklumat dalam bahasa Inggeris.


Namun, daripada sudut pandangan negatif pula, fikiran akan menjadi kusut kerana banyak sistem bahasa yang abstrak tersimpul dalam fikiran kita sehingga kita tidak dapat menggunakan satu bahasa dengan baik. Secara tidak langsung, timbul penggunaan bahasa yang kacau bilau. Tambahan pula, penggunaan bahasa selain daripada bahasa kita sendiri akan menimbulkan masalah kesetiaan terhadap bahasa, yakni kita tidak akan setia atau cinta kepada bahasa itu sendiri dan tidak akan menggunakannya dengan penuh kebanggaan. Ini akan mengakibatkan bahasa itu tersisih.


Oleh itu, kita haruslah bijak dalam penggunaan bahasa sama ada bahasa Melayu atau bahasa lain. Bahasa adalah lambang sesuatu bangsa. Kita harus mengekalkan identiti bangsa kita melalui bahasa.