BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, January 27, 2011

Kembali Sebutir Mutiara


JUMAAT 28/01/2011


Pada hari ini, aku terasa bosan dan kesepian kerana teman sebilikku telah pulang ke kampungnya di Kelantan. Aku mengisi masaku dengan membaca novel yang bertajuk Kembali Sebutir Mutiara karya Noraini Osman. Aku tertarik dengan penggunaan bahasanya. Contohnya perbualan yang berlaku antara Tauke Lee Guan dengan watak utama, iaitu Hassan:


            “Kalau lu sekolah tinggi, kalau lu susah, lu telefon wa! Wa akan bantu lu kalau wa mampu lagi!” katanya lagi sambil menghulurkan kad namanya.


Komen/ Cadangan:

Berdasarkan konteks ayat tersebut, penggunaan perkataan “lu” dan “wa” sinonim dengan bahasa yang sering digunakan oleh kaum Cina. Penulis memasukkan ciri-ciri budaya kaum Cina melalui penulisannya berdasarkan bahasa yang digunakan oleh kaum Cina. Namun, sekiranya kita membaca penulisan ilmiah, tiada penggunaan bahasa rojak dalam penulisan tersebut.




 Novel karya Noraini Osman.


Kepelbagaian Dialek

KHAMIS 27/01/2011

Pelbagai gelaran yang diberikan oleh rakan-rakanku ketika disoal oleh Dr. Siti Saniah semasa di dalam kelas Sosiolinguistik Melayu berkenaan gelaran dalam keluarga. Pelbagai gelaran yang diujar oleh rakan-rakanku berdasarkan negeri dan kaum masing-masing. Misalnya, rakanku berasal dari negeri Perak memanggil adik beradik yang sulung dengan gelaran yeop atau yong. Gelaran ini berbeza dengan rakanku yang berasal dari negeri Pahang yang menggunakan gelaran along. Selain itu, terdapat juga perkataan yang tidak pernah aku ketahui dan dengari seperti mengeteh. Perkataan “mengeteh” biasanya digunakan oleh orang Jawa yang bermaksud minum di kedai makan.


Komen/ cadangan :

Gelaran dalam keluarga berbeza bagi setiap keluarga atau mengikut negeri. Walau bagaimanapun, gelaran bukanlah kayu pengukurnya dalam sesebuah ikatan kekeluargaan tetapi perasaan hormat-menghormati merupakan perkara yang paling penting. Namun, kita juga seharusnya tahu menggunakan gelaran ketika berhadapan dengan orang tertentu seperti berjumpa dengan menteri atau orang yang mempunyai pangkat yang tinggi agar kita tidak tersalah kata. Selain itu, sesuatu perkataan yang digunakan sebenarnya merujuk kepada kesesuaian sesuatu kaum. Misalnya pekataan “mengeteh” yang berkemungkinan merujuk kepada masyarakat Jawa yang suka bersembang dan minum di kedai atau gerai.

Perempuan atau Wanita


RABU 26/01/2011


Dalam bidang semantik yang mengkaji makna, aku telah mempelajari sesuatu yang menarik di dalam kelas Semantik dan Pragmatik bahasa Melayu. Aku telah mempelajari makna konotatif. Makna konotatif adalah makna lain yang ditambahkan pada makna denotatif, iaitu makna asli yang berhubungan dengan nilai rasa dari orang atau kelompok orang yang menggunakan kata tersebut. Hal ini demikian kerana perkataan yang digunakan mempunyai makna yang ada kaitan dengan nilai rasa, iaitu positif atau negatif. Nilai rasa ini bermaksud pertimbangan kita terhadap sesuatu perkataan yang digunakan sama ada baik ataupun sebaliknya. Misalnya, perkataan “perempuan” dan “wanita” adalah bersinonim namun “wanita” lebih sedap didengar berbanding “perempuan”. Perkataan ”perempuan” lebih membawa nilai rasa yang negatif. Sebaliknya perkataan ”wanita” lebih kepada nilai rasa yang positif, terhormat dan keibuan. Begitu juga dengan perkataan “kurus” dan “ramping”. Seseorang itu lebih suka dirinya disebut sebagai “ramping” daripada “kurus” ataupun “kerempeng” yang mempunyai nilai rasa yang tidak elok.



Komen/ Cadangan:
Setiap perkataan yang dituturkan mempunyai perkaitan dengan nilai rasa, sama ada positif atau negatif. Nilai rasa ini sebenarnya memerlukan pertimbangan kita terhadap sesuatu perkataan yang digunakan sama ada baik ataupun sebaliknya. Kita seharusnya lebih bijak ketika menuturkan kata-kata agar tidak menyinggung perasaan orang lain.



Buku rujukan yang digunakan.


KECUAIAN


SELASA 25/01/2011

Ketika aku dan rakanku, Agai menunggu bas untuk pergi ke Proton City, aku terlihat kain rentang yang dipasang berdekatan dengan tempat menunggu bas. Namun, setelah aku membaca maklumat yang tertulis pada kain tersebut, aku tergelak sendirian. Aku dapati terdapat perkataan yang tidak lengkap. Perkataan tersebut tidak lengkap kerana terdapat satu huruf yang tidak dituliskan atau telah tercicir. Seharusnya perkataan tersebut dieja dengan tepat dan betul, iaitu “dewan” bukannya ”dewa” .


Komen/Cadangan:
Kita seharusnya lebih peka terhadap persekitaran kita. Sekiranya kita ingin menyampaikan maklumat kepada orang ramai, kita haruslah memastikan maklumat yang ingin disampaikan adalah tepat. Hal ini demikian kerana maklumat yang lengkap dapat memberikan panduan kepada orang yang membacanya. 






Inilah kain rentangnya

KESOPANAN BERBAHASA


ISNIN 24/01/2011


Sewaktu aku berada di dalam bas yang menuju ke Proton City untuk menghadiri kelas Kesusasteraan Melayu dalam Pembangunan Modal Insan, aku dan penumpang-penumpang lain didendangkan dengan suara penyampai radia Sinar FM. Ketika iklan yang disiarkan diradio itu berkumandang, aku tertarik dengan iklan yang disiarkan. Iklan itu berkaitan kesopanan berbahasa. Iklan tersebut mengisahkan seorang kanak-kanak ingin membeli gula-gula dan bertanya kepada pak cik yang menjual mengenai harga gula-gula tersebut tetapi kanak-kanak itu dimarahi oleh pak cik tersebut. Antara dialognya seperti, “Pak cik, berapa harga sebiji gula-gula ini?” kata kanak-kanak itu. Lalu pak cik itu pun menjawab, “Sepuluh sen, dua biji gula-gula.” Kanak-kanak tersebut bertanya lagi, “Berapa pak cik?”. “Banyak soal la kau ni,” kata pak cik tersebut.



Komen/ cadangan:
Sikap yang kurang ajar atau tidak bersopan ketika bertutur seharusnya tidak berlaku. Seperti situasi yang dinyatakan di atas, pak cik tersebut tidak seharusnya berkasar dengan pelanggannya walaupun pelanggannya adalah kanak-kanak. Kita seharusnya saling menghormati orang lain tanpa mengira umur, bangsa dan taraf. Orang yang lebih tua seharusnya menunjukkan teladan yang baik kepada generasi muda agar dapat dijadikan ikutan dan panduan kepada generasi pada masa kini.






Saturday, January 22, 2011


JUMAAT 21/01/2011

Dewan Seri Tanjung, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)


Hari ini aku dan rakan-rakan menghadiri seminar Isu-isu Sosiolinguistik Bahasa Melayu Semasa yang dianjurkan oleh pensyarahku, Dr. Siti Saniah. Tetamu yang dijemput khas oleh pensyarahku cukup bermakna kepada aku, iaitu Prof. Dr. Awang Sariyan. Seminar ini bermula pada pukul 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 11.30 pagi. Ketika Prof. Dr. Awang Sariyan menyampaikan ceramahnya, aku sungguh tertarik dengan jenis-jenis bahasa moden yang diutarakan oleh beliau, iaitu bahasa SMS yang digunakan pada masa kini. Beliau menyenaraikan bahasa SMS  seperti leh join, sape, askum, korang, camne dan leh.


Selesai para tetamu menjamu selera, kami telah mengadakan sesi bergambar untuk dijadikan kenangan. Ketika rakanku mengambil gambar, dia telah menggunakan bahasa rojak. “Ok, semua sedia. Satu, dua, tiga. One more,” kata rakanku itu.


Komen/ cadangan:

Bahasa SMS yang digunakan adalah merupakan singkatan atau bahasa dialek. Bahasa SMS semakin meluas penggunaannya pada masa kini. Selain itu, aku bersetuju dengan pendapat seorang  pensyarah yang berada berhampiran denganku ketika sesi bergambar itu. Beliau menyatakan bahawa kadang kala kita sering menggunakan bahasa rojak kerana bahasa itu sudah sebati dengan hidup kita. Namun, tidak salah sekiranya kita menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam kehidupan. Secara tidak langsung, kita dapat memartabatkan bahasa kita. Hal ini demikian kerana majunya bahasa Melayu adalah kerana kita sendiri yang mengagungkannya sebagai bahasa kebangsaan dan warisan kita.





Ketika sesi bergambar dengan para tetamu dan ahli jawatan kuasa yang terlibat.




Ketika bergambar dengan idola kami, Prof. Dr. Awang Sariyan. 



Thursday, January 20, 2011

KHAMIS 20/01/2011


Kadang kala perkataan yang sama sering kali digunakan secara bergandingan. Kemungkinan kita tidak menyedarinya apabila bertutur. Situasi ini berlaku ketika aku makan tengahari bersama rakan serumahku, iaitu Moon.


Aku     : Makan lauk apa hari ni?
Moon  : Ikan keli bersambal. Akak nak rasa tak? Cuba try. Sedap.
Aku     : Tak apalah. Akak tak makan ikan keli.


Komen : Sebenarnya dari segi semantiknya, perkataaan “cuba” dan “try” mempunyai makna yang sama. Perkataan tersebut hanya berbeza pengucapan bahasanya. Perkataan “cuba” merupakan perkataan dalam bahasa Melayu manakala perkataan “try” dalam bahasa Inggeris.

Cadangan : Kita seharusnya menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu dalam percakapan atau boleh menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris untuk menggelakkan berlakunya kecelaruan dalam berbahasa. Penggunaan perkataan yang sama dalam percakapan mahupun dalam penulisan sebenarnya boleh dianggap sebagai lewah. Oleh itu, cintailah bahasa kita.




Juadah tengahari rakan serumahku.

RABU 19/01/2011



Hari ini merupakan hari yang mendebarkan hatiku. Kegelisahan melanda diriku bermulanya aku bangun daripada tidur. Pelbagai perasaan yang tak dapat diungkap dengan kata-kata. Aku perlu melakukan pengajaran mikro di dalam kelas bagi subjek Pengajaran, Teknologi dan Penafsiran 2. Walaupun aku merupakan orang yang kedua yang melakukan pengajaran mikro  tetapi debaran jelas terasa. Pembentangan pengajaran mikro berjalan dengan lancar. Alhamdulillah, aku dapat melihat kesungguhan rakan-rakan melakukan tugasan itu walaupun ada kekurangannya termasuklah diriku ini. Namun, terdapat situasi yang agak kurang sopan bagi diriku. Terdapat rakanku yang menggunakan bahasa yang agak kasar dalam pertuturannya untuk menjelaskan sesi pengajaran yang akan dilakukan olehnya kepada kami sebelum dia memulakan pengajaran mikro.


 "Sebenarnya pada hari ini saya akan mengajar murid-murid tingkatan dua yang bukan cemerlang dan  bengap. Kiranya kamu semua ni murid-murid yang sederhana," kata rakan.


Komen : Perkataan “bengap” boleh dianggap sebagai bahasa yang agak kasar dan tidak wajar dituturkan oleh kita yang merupakan bakal guru. Hal ini demikian kerana perkataan tersebut boleh menimbulkan perasaan rendah diri dan terhina sekiranya diucapkan kepada seseorang  terutamanya murid-murid yang lemah dalam pelajaran. Namun, kadang kala kita terlepas cakap tanpa kita sedari.

Cadangan: Kita seharusnya menggunakan bahasa yang lebih halus dan lembut agar tidak menguris hati orang lain. Perkataan yang sopan dapat merapatkan orang lain dengan diri kita kerana kecantikan seseorang itu lahir daripada adab sopannya apabila bertutur.

#Sekiranya ada hati yang terguris, maaf dipinta. Ini hanyalah sebagai renungan kita bersama yang bakal menjadi seorang pendidik. Sesungguhnya yang baik datang daripada-Nya dan yang buruk datangnya daripada diri kita sendiri, insan yang serba kekurangan ini.

Wednesday, January 19, 2011

SELASA 18/01/2011


Pada malam ini aku bersama rakan-rakanku telah menghadiri perhimpunan pelajar Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU). Walaupun aku agak keletihan kerana menghadiri kelas pada waktu pagi dan petang, namun demi PERBAYU dan rasa tanggungjawab aku gagahkan diri menghadiri perjumpaan tersebut. Apabila aku memasuki Auditorium Utama, aku agak terkejut apabila melihat jumlah pelajar yang menghadiri perjumpaan tersebut. Pada fikiran aku hanya separuh sahaja yang menghadiri perjumpaan ini. Ketika mendengar ucapan oleh penasihat persatuan, iaitu Dr. Hj Zulkeflee Hj Yaacob, aku terdengar perbualan pelajar yang berada di belakang aku. Pelajar tersebut merupakan junior aku tapi tak dapat dipastikan semester dua atau empat.


            Pelajar A : Aku datang bukan nak dengar kuliah, 
                             dah-dah lah cakap tu.
            Pelajar B : Boringlah, dah la mengantuk ni.

Komen: Pelajar tersebut tidak menghormati pengucap apabila mendengar ucapan. Penggunaan bahasa rojak juga dapat dilihat dalam percakapannya yang menggunakan perkataan bahasa Inggeris, iaitu boring.

Cadangan : Kita seharusnya mempunyai kesedaran kendiri. Kita seharusnya menghormati orang yang berucap tanpa mengira taraf, kedudukan atau umur seseorang itu. Penggunaan bahasa Melayu dalam pengucapan adalah lebih indah kerana bahasa adalah jiwa bangsa.



Ketika Dr. Hj Zulkeflee Hj Yaacob berucap.




Hanya sebahagian pelajar sahaja yang menghadiri perjumpaan PERBAYU.



ISNIN 17/01/2011

Setiap hari aku menaiki bas untuk ke kelas sama ada kelas yang berada di kampus Sultan Abdul Jalil atau di Proton City. Kebiasaannya pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan beratur semasa menaiki bas pada waktu pagi, tidak berebut dan sabar menanti ketibaan bas. Namun, situasi ini berubah ketika waktu tengahari. Hal ini jelas dapat dilihat ketika aku ingin pulang ke kolej kediaman selepas menghadiri kelas di kampus. Para pelajar  saling berebut untuk menaiki bas sampai tertolak-tolak. Keadaan ini agak melemaskan aku kerana aku sendiri terasa seperti sesak nafas kerana berebut. Tiba-tiba aku terdengar seorang pelajar perempuan menjerit yang aku namakan sebagai gadis A.


            Gadis A: Oii…sakitlah aku ni. Beg aku ni. 
                          Agak-agaklah nak naik pun.

Komen : Hal ini berlaku apabila keadaan pelajar yang berebut-rebut untuk menaiki bas menyebabkan pelajar tersebut terhimpit dan mengakibatkan beg yang dibawa olehnya tersepit. Hal ini disebabkan setiap pelajar ingin pulang cepat ke kolej kediaman masing-masing. Gadis A tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata seperti itu. Bagi diriku ayat tersebut agak kasar bagi seorang gadis.

Cadangan : Keadaan seperti ini tidak akan berlaku sekiranya setiap pelajar beratur ketika menaiki bas. Gadis A juga tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata seperti itu. Tidak salah sekiranya menggunakan bahasa yang lebih halus bersesuaian dengan naluri kewanitaan yang penuh kelembutan.


Bahasa Jiwa Bangsa.
Renung-renungkanlah…

Friday, January 14, 2011

*Pagi yang indah*

Assalamualaikum dan selamat pagi..Pagi yang indah didendangkan dengan deklamasi sajak di KHAR...Ayuh rakan-rakan, jangan tidur lagi..