RABU 19/01/2011
Hari ini merupakan hari yang mendebarkan hatiku. Kegelisahan melanda diriku bermulanya aku bangun daripada tidur. Pelbagai perasaan yang tak dapat diungkap dengan kata-kata. Aku perlu melakukan pengajaran mikro di dalam kelas bagi subjek Pengajaran, Teknologi dan Penafsiran 2. Walaupun aku merupakan orang yang kedua yang melakukan pengajaran mikro tetapi debaran jelas terasa. Pembentangan pengajaran mikro berjalan dengan lancar. Alhamdulillah, aku dapat melihat kesungguhan rakan-rakan melakukan tugasan itu walaupun ada kekurangannya termasuklah diriku ini. Namun, terdapat situasi yang agak kurang sopan bagi diriku. Terdapat rakanku yang menggunakan bahasa yang agak kasar dalam pertuturannya untuk menjelaskan sesi pengajaran yang akan dilakukan olehnya kepada kami sebelum dia memulakan pengajaran mikro.
"Sebenarnya pada hari ini saya akan mengajar murid-murid tingkatan dua yang bukan cemerlang dan bengap. Kiranya kamu semua ni murid-murid yang sederhana," kata rakan.
Komen : Perkataan “bengap” boleh dianggap sebagai bahasa yang agak kasar dan tidak wajar dituturkan oleh kita yang merupakan bakal guru. Hal ini demikian kerana perkataan tersebut boleh menimbulkan perasaan rendah diri dan terhina sekiranya diucapkan kepada seseorang terutamanya murid-murid yang lemah dalam pelajaran. Namun, kadang kala kita terlepas cakap tanpa kita sedari.
Cadangan: Kita seharusnya menggunakan bahasa yang lebih halus dan lembut agar tidak menguris hati orang lain. Perkataan yang sopan dapat merapatkan orang lain dengan diri kita kerana kecantikan seseorang itu lahir daripada adab sopannya apabila bertutur.
#Sekiranya ada hati yang terguris, maaf dipinta. Ini hanyalah sebagai renungan kita bersama yang bakal menjadi seorang pendidik. Sesungguhnya yang baik datang daripada-Nya dan yang buruk datangnya daripada diri kita sendiri, insan yang serba kekurangan ini.
0 comments:
Post a Comment